24/08/2012

MUAFAKAT ANTARA ULAMA DAN PEMERINTAH


Allah SWT berfirman dalam surah An Nisa,


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri daripada kalangan kamu.” (surah An-Nisaa, 4: 59)

Merujuk kepada kitab tafsir, yang diertikan dengan ulil amri (pemimpin) itu dibahagikan kepada dua; Pertama, pemimpin yang bertugas untuk mentadbir dan mengurus rakyat dan negara yakni ketua negara dan pemimpin setempat. Kedua, ulil amri juga bermaksud ulama, pemimpin yang mentadbir urusan agama. Ini yang dikatakan sebagai gabungan antara ulama dan umara.

Gandingan daripada kedua-duanya (ulama dan umara) amat perlu kerana dengannya barulah kita akan mencapai kejayaan. Lihatlah bagaimana kejayaan perluasan negara jajahan takluk Islam suatu ketika dahulu. Pada zaman Umar Al Khatthab, ahli majlis syura terdiri daripada ahlul halli wal ‘aqdi, orang yang betul-betul cerdik pandai, memberikan pendapat dan pandangan yang bernas, serta bertanggungjawab.

Kita tidak boleh terus menerus berada dalam keadaan yang selesa. Kita tidak boleh menunggu berlakunya tsunami dalam politik, barulah masing-masing tersedar dan bertindak, kita tidak boleh menunggu hingga dekat pilihanraya baru hendak mencari ustaz untuk ceramah dan bertanya, dan perkara-perkara seperti itu. Kita tidak mahu orang menganggap kebaikan yang kita lakukan hanyalah lakonan kerana dekat dengan pilihanraya.

Ini antara perubahan yang perlu kita lakukan. Kombinasi antara ulama dan umara perlu ada dan kita tidak seharusnya menunggu sehingga dekat pilihanraya sahaja barulah kita pergi ke masjid, mendekati ustaz, panggil ustaz ceramah dan mengajar.

Jika kita lihat sejarah umat Islam, kejayaan Nabi dan para khulafa ar-rasyidin dibantu oleh penasihat-penasihat yang berada di sekeliling mereka, di mana yang berada di sekeliling pemerintah pada masa itu adalah ahli ilmu. Pada zaman Nabi, Nabi menjadi imam mereka, pada zaman khulafa ar-rasyidin, para sahabat menjadi penasihat dalam setiap tindakan dan perkara yang bakal dilakukan.

Khalifah Al-Makmun yang melakukan banyak fitnah yakni kerosakan kepada dunia Islam dan para ulama, yang menjadi penasihat beliau adalah tokoh ilmu juga, tetapi tokoh ilmu muktazilah; Bisyr al-Mirrisi. Perhatikan bagaimana gandingan mereka, yakni ketokohan Al-Makmun dalam memimpin dan mentadbir, serta Bisyr Al-Mirrisi yang pengaruhnya adalah pengaruh Muktazilah yakni yang mendahulukan akal daripada nas-nas wahyu. Gabungan ini merupakan antara faktor kejayaan mereka dalam menyebarkan ideologi mereka.

Mana tidaknya, ulama yang berperanan memberi cadangan kepada pemimpin. Beliau mencadangkan kepada khalifah Al-Makmun untuk menterjemahkan buku-buku falsafah ke dalam bahasa arab kononnya untuk dimanfaatkan. Sebagai pemimpin, Al-Makmun mendengar nasihat ulamanya yang merupakan ulama suk (buruk) yang merosakkan, maka diterjemahkanlah kitab-kitab falsafah Yunan, Greek kepada bahasa arab yang menjadi penyebab fitnah (kerosakan) dan pertembungan di dalam perbahasan ilmu-ilmu agama seperti ilmu ketuhanan dan sebagainya.

Begitu juga apabila ulama suk itu menasihat pemerintah agar menangkap ulama-ulama yang kononnya mengganggu penyebaran akidah sebenar, walhal akidah yang dimaksudkan adalah akidah muktazilah. Hasil daripada gabungan ini, penasihat ini menasihat Khalifah Makmun dan Makmun menangkap para ulama yang ikhlas di jalan Allah termasuklah Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, murid Imam Asy-Syafi’i rahimahullah.

Imam Ahmad ditangkap, disiksa, dan dipaksa agar menjelaskan kepada masyarakat bahawa akidah yang dipegangnya sama seperti akidah yang diangkat oleh Al-Makmun yang telah dipengaruhi oleh Bisyr Al-Mirrisi. Jadi amat penting gandingan pemerintah dan penasihat, dan perlu diperhatikan siapa penasihatnya.

Pernah juga berlaku dalam sejarah pemalsuan hadis di mana penasihat kepada pemimpin tersebut memalsukan satu hadis tentang perlumbaan yang diharuskan dalam syariat seperti perlumbaan kuda. Disebabkan pemimpinnya minat kepada burung, dia menambah perkataan burung di dalam hadis. Pemimpin yang tidak mengetahui perkara sebenar memanfaatkan hadis tersebut. Ini masalahnya apabila tersalah memilih penasihat-penasihat yang seperti ini.

Pemimpin pula tidak seharusnya bertindak dahulu kemudian baru bertanya kepada ustaz atau penasihatnya apa dalil yang menyokong tindakan tersebut. Pertanyaan atau perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu melalui mesyuarat dan sebagainya. Sebab itu perlu diwujudkan satu unit khas. Pada masa ini kita sudah ada JAKIM, tetapi sejauh mana kita telah memanfaatkan JAKIM, fatwa-fatwa JAKIM dalam perlaksanaan ataupun isu-isu politik pada hari ini secara khususnya.

Oleh kerana itu saya merasakan perlu diwujudkan satu unit khas untuk menjawab isu-isu agama secara adil dan ilmiah tanpa melibatkan emosi dan kepentingan. Itu sebenarnya satu cadangan di mana saya kira perlu ada kombinasi antara tokoh-tokoh ilmu, pemerintah, dan juga mereka-mereka yang bergerak di alam maya sebagai medium untuk menyampaikan kepada masyarakat apa yang telah difatwakan, dibincangkan dan apa yang telah dipersetujui dan bersesuaian dengan lunas-lunas syarak.


Makluman : Ustaz Fathul Bari merupakan Felo Kehormat iMPAK

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More